'Awalnya kekok, selepas 10 minit sudah biasa'

Sultan Johor pandu kereta api dari Johor Bahru ke Stesen Kulai

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim menjalani latihan praktikal sempena Kembara Mahkota Johor pada 26 hingga 28 Jun ini dengan memandu sendiri kereta api bermula dari Stesen JB Sentral di sini, semalam.



SULTAN IBRAHIM menjalani latihan praktikal secara rasmi memandu kereta api sempena program Kembara Mahkota Johor 2010 di Stesen JB Sentral.


Baginda yang tiba pada jam 11.30 pagi diberi taklimat oleh pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bahagian lokomotif kereta api sebelum memandu sendiri ke Stesen Kulai.
Ini adalah kali pertama Kembara Mahkota Johor akan menjelajah ke sebahagian besar negeri ini menggunakan kereta api sejak kali pertama diadakan pada 2001.

Kembara kali ini akan membabitkan laluan keseluruhan 391.3 kilometer dari Stesen JB Sentral ke Stesen Gemas dan kembali ke pusat bandar raya.

Baginda yang mengetuai program tiga hari dua malam juga akan diiringi isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, keluarga, kerabat diraja serta pembesar negeri.

Sultan Ibrahim yang tiba di Stesen Kulai pada kira-kira jam 12.45 tengah hari bertitah, pengalaman memandu kereta api adalah sesuatu yang baru bagi baginda.
“Mula-mula saya rasa kekok kerana tiada stereng dan terus bergerak saja tetapi dalam lima hingga 10 minit, saya sudah biasa. Maksimum saya bawa 30 kilometer sejam walaupun ia boleh sampai 100 kilometer sejam tetapi saya pemandu baru,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, pengalaman menaiki kereta api dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur ketika kecil juga begitu jauh berbeza berbanding sekarang, malah baginda tidak sabar menantikan detik bermulanya program terbabit.

“Saya sentiasa fikirkan tarikh 26 Jun dan tidak sabar mahu dapatkan lesen dan memulakan acara. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar setakat ini,” titahnya.




Kembara Mahkota 2010 akan melakukan persinggahan pada hari pertama di Stesen Kulai membabitkan pelbagai program seperti penyerahan hak milik tanah, penyerahan rumah kepada peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), penyampaian bantuan sara hidup kepada warga miskin, golongan kurang upaya dan anak yatim.

Baginda juga dijadual melepaskan benih anak ikan, menyaksikan pertandingan sukan rakyat dan melawat gerai pameran sebelum berangkat ke stesen seterusnya ke Simpang Renggam.

Sementara itu, kakitangan di Sekretariat Kembara Mahkota Johor sibuk membuat persiapan akhir termasuk menyiapkan kain rentang dan pelbagai peralatan lain.


sumber dari BHarian


0 comments: