Saya tak pernah rahsiakan pernikahan


APABILA masalah rumah tangga Lan A to Z diperkatakan ramai, banyak yang ingin tahu bagaimana dengan nasib anggota lain dalam kumpulan paling popular era 90-an itu?

Jika Lan berhadapan dengan tuntutan cerai oleh isterinya, Marcella Shariff setelah mempunyai tiga anak dan tidak lagi popular, bagaimana dengan Jeff dan Chap?



Jeff A To Z


Pancaindera berjaya menjejaki Jeff, yang juga merupakan abang kepada pelakon Zizie Izzette.

Sejak mendirikan rumah tangga pada Mac 2005, ahli kumpulan trio popular tahun 1990-an ini menyepikan diri. Jeff A to Z atau nama penuhnya Ahmad Shahal Jeffrey A. Samad, 35, kini telah dikurniakan dua anak hasil perkahwinan dengan Siti Noradabiah Mat Hassan.

Jeff yang bernikah di Pusat Islam, Wilayah Persekutuan dengan wanita pilihan berasal dari Pasir Putih, Kelantan kini hidup bahagia dengan cahaya mata, Sara Batrysha, 4 dan Harith Armand, 3 tahun.

Siapa sangka album pertama A to Z pertama yang memuatkan lagu Itik Gembo-Gembo pada tahun 1995 yang diadaptasi daripada negeri pantai Timur membuatkan dia jatuh hati dengan orang Kelantan.

A to Z yang dahulunya bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music (M) sempat melahirkan lima album. Kumpulan trio lelaki pertama di negara ini mulainya dianggotai Allahyarham Fendi, Lan dan Jeff sendiri sebelum Allahyarham Fendi yang melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim digantikan dengan anak Saharudin Thamby, Chap.






Bila ditanya tentang perkahwinan yang tidak dihebohkan itu, Jeff memberi alasan sendiri dan menafikan perkahwinan itu dijalan secara rahsia.

“Saya tidak merahsiakannya, kami hanya buat majlis kecil-kecilan di Kuala Lumpur dan Pasir Putih. Begini ceritanya, sejak kecil dulu, kalau ingat saja pasal perkahwinan, ia mesti melibatkan persandingan. Bab bersanding itulah yang membuatkan saya jadi malu. Saya ni kan pemalu.

“Jadi akhirnya saya kena lalui proses perkahwinan itu dan termasuklah bersanding. Itu pun keluarga suruh juga bersanding, kenalah juga saya buat. Itu sebabnya saya tak bercerita dengan wartawan. Kalau saya kahwin sorok saya takkan buat majlis persandingan, betul tak?” kata Jeff.

Lagi pula mengikut perkiraan Jeff sewaktu dia mendirikan rumah tangga zaman kegemilangannya sudah berakhir dan sebab itulah dia beranggapan perkahwinannya itu tidak perlu dihebohkan.

Mengimbau kisah percintaannya, Jeff memberitahu dia berkenalan dengan wanita pilihannya sewaktu majlis ulang tahunnya.

“Kawan saya bawa dia datang ke majlis itu dan di situlah saya kenal dia. Kami bercinta tidak lama, hanya enam bulan sahaja. Lagi pula saya rasa usia pun dah hampir lanjut, jadi lebih baik kami bernikah sahaja,” kata anak muda yang kini berusia 35 tahun ini.

Kini dia menetap di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan bekerja dengan rakannya di kedai menjual kereta Perisai Wira di Taman Melati Utama.

“Saya minat dengan kereta dan salah satu jalan untuk mendekatkan saya dengan kereta ialah dengan cara begini. InsyaAllah kalau ada rezeki saya akan buka kedai seperti ini sendiri,” katanya lagi.

Sebagai anak seni yang pernah digilai peminat suatu masa dulu, Jeff merasakan pengalaman menjadi artis sedikit sebanyak membantu dia dalam hal berniaga.

“Saya dah lain sekarang, maklumlah dah berisi, ada yang tak kenal. Tapi ada juga yang kenal. Jadi bila orang dah kenal, senang sikit cerita. Adalah peluang kita nak jual kereta dan ia sebagai satu bonus bagi saya bagi mendekati pelanggan. Saya anggap pengalaman bergelar artis memberi sedikit impak yang positif kepada kita dalam kerjaya sekarang ini,” tambah Jeff lagi.

Darah seni yang mengalir dalam keluarga dan dirinya sendiri bagaimanapun tidak berakhir di situ. Dalam tempoh dia ‘bertapa’ Jeff dalam diam telah menyiapkan sepuluh lagu ciptaan yang diterbitkan sendiri.

Dengan modal sendiri Jeff telah merakamkan lagu untuk album solonya dan dia sekarang sedang berusaha untuk memasarkannya sendiri.

Menurut Jeff dia sering berhubungan dengan Chap dan Lan dan baru-baru ini mereka telah diundang sebuah stesen televisyen di Singapura untuk rakaman program Hari Raya bersama Liena Hangat.

“Bukan saya tak rindu dan saya nak menyanyi semula, tapi saya, Chap dan Lan masing-masing sibuk, jadi kami buatlah haluan masing-masing. Saya masih lagi diundang untuk show dalam sebulan tu adalah sekali. Tapi bukanlah show yang besar, bolehlah melepaskan rindu menyanyi.

“Anak-anak saya nampaknya juga ada bakat menyanyi biarpun mereka masih kecil. Kalau di rumah mereka selalu menyanyi dan di situ saya dah nampak bakat mereka. Tak tahulah nanti, tengoklah, kalau mereka nak jadi penyanyi kalau besar nanti saya tak halang,” katanya mengakhiri perbualan panjang kami.


sumber dari UTUSAN