Radhi OAG, Shazlin sah cerai talak satu

PETALING JAYA 8 Jun - Setelah dua kali vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Radhi dan pasangannya, Shazlin Shariff disahkan sebagai suami isteri oleh mahkamah, akhirnya pasangan itu bercerai talak satu secara baik hari ini.



RADHI OAG memeluk Shazlin Shariff sebelum mengesahkan penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah di Petaling Jaya, semalam


Hakim Syarie, Fadzil Che Hasan mengesahkan penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas beliau berpuas hati dengan lafaz cerai yang dibuat oleh Radhi, 31, di hadapannya pada pukul 3.05 petang.

''Saya, Muhammad Radhi Razali menceraikan Shazlin Shariff dengan talak satu,'' lafaz artis tersebut dengan tenang.

Fadzil membenarkan perceraian tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Beliau memerintahkan perceraian itu didaftarkan di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Sri Petaling dan sijil nikah dibatalkan.

Shazlin yang berdiri bersebelahan dengan peguam syarie yang mewakilinya, Rubiah Jaffar juga dilihat tenang.

Terdahulu, Rubiah menyatakan kepada mahkamah bahawa alasan perceraian pasangan itu adalah tiada lagi persefahaman.



Penyanyi Radhi OAG menunjukkan simbol "satu"kepada pihak media selepas beliau melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Shazlin Shariff (belakang) di hadapan hakin syarie, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, 8 Jun.


Beliau juga memaklumkan kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian pada 16 Oktober tahun lalu berhubung perceraian secara baik, idah, mutaah dan nafkah anak.

''Antara terma yang dipersetujui ialah Radhi selaku defendan perlu membayar idah sebanyak RM3,000 kepada plaintif bagi tempoh tiga kali bersuci dan memberikan nafkah anak sebanyak RM460 setiap bulan.

''Radhi juga bersetuju membayar wang insurans pendidikan anak sebanyak RM200 sebulan serta RM1,000 setiap tahun untuk sambutan Hari Raya Puasa dan juga sambutan hari lahir anak,'' kata Rubiah.

Selain itu, menurut Rubiah, Shazlin pula bersetuju melupuskan tuntutan mutaah dan menghalalkannya.

Peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Radhi kemudian mengesahkan perkara tersebut.

Pasangan itu bernikah pada 1 Januari 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia lima tahun, Rifdhi Muslim.

Shazlin ketika ditemui media di luar mahkamah melahirkan rasa lega dengan keputusan tersebut.

Radhi bagaimanapun tidak mahu memberikan sebarang komen, sebaliknya hanya menyanyikan sebuah lagu yang didakwa single terbarunya berjudul Limbo sambil berlalu pergi.

Shazlin sebelum ini mengemukakan dua permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap Radhi, bagaimanapun mahkamah yang sama tidak mensabitkan talak ke atas mereka.


sumber dari UTUSAN

sumber dari KOSMO


2 comments:

sarah shafie

huhu..dlu punyelah gaduh,,skrg mcm suke pulak si radhi ni..

Nur Aainaa Khairunnisa

dorang cerai cara baik kan...bagusla begitu dari gaduh²....