Nama menjadi DOA

SALAH satu perkara yang membezakan antara seorang individu dengan individu yang lain ialah nama.

Pemberian nama manusia adalah suatu perkara yang amat penting kerana seseorang itu akan dipanggil mengikut nama yang telah diberikan. Malah, nama juga ibarat penanda untuk dikenal pasti oleh orang lain.




Bagi para artis tempatan, mereka lebih senang menggunakan nama singkatan ataupun samaran untuk dikomersialkan kepada umum.

Sehinggakan nama komersial yang digunakan itu bunyinya jauh berbeza daripada nama asal yang sekadar menghiasi pada kad pengenalan mereka.

Ada yang mempersoalkan, wajarkah nama samaran digunakan sekadar untuk mempermudahkan promosi seseorang artis berkenaan ataupun mahu dilihat sebagai seorang artis yang glamor dan popular?

Mengikut sejarah Melayu, penggunaan nama samaran sudahpun wujud sejak zaman duhulu lagi seperti tokoh-tokoh Melayu, Tok Janggut yang nama asalnya adalah Mat Hassan Panglima Munas, Tok Gajah (Mat Kilau Imam Rasu), Datuk Maharaja Lela (Pandak Lam) dan Datuk Bahaman (Abdul Rahman).

Penggunaan nama samaran tersebut adalah untuk mempermudahkan pengaruh aura kekuatan mereka pada waktu itu. Sama seperti para artis, kebanyakan mereka mengubah nama secara keseluruhan atau mengambil nama singkatan adalah untuk memudahkan masyarakat umum mengingati mereka.

Ada juga yang mengubah nama kerana mahu mengikut konsep genre muzik yang dibawakan agar ia tampak selari dengan imej yang dibawakan.

Antara artis-artis terkenal yang menggunakan nama lain daripada nama asal ialah, Awie (Ahmad Azhar Othman), Abot (Norimah Muhammad), Ajai (Mohd Faizal Maas), Jay Jay (Mohd Fauzi Darus), Lydiawati (Salina Zaimon) dan Anita Sarawak (Ithnaini Mohamed Taib Salleh).

Bagaimanapun, ada juga sebilangan artis yang nama komersialnya digunakan oleh pihak syarikat rakaman atau syarikat produksi filem atau drama itu sendiri bagi memudahkan promosi produk yang dihasilkan.


NAMA Ella mudah diingati peminat kerana ringkas tetapi menarik.


Jaminan populariti

Sebagai seorang penerbit filem yang tersohor, Datuk Yusof Haslam tahu citarasa masyarakat mengenai pelakon-pelakon kegemaran mereka.

Bukan sahaja bergantung pada paras rupa atau nama, bakat lakonan perlu diutamakan.

Bagi Yusof, walaupun nama komersial diperlukan, seboleh-bolehnya, nama asal dikekalkan dengan gabungan nama tambahan lain.

"Saya mengambil contoh nama Fazira Wan Chik. Saya cuma menambahkan Erra di depan dan bila disebut, Erra Fazira, ia sedap didengar.

"Begitu juga dengan Ziana Zain yang nama asalnya Siti Roziana Zain. Pada pendapat saya mahu nama glamor macam mana sekalipun, biarlah nama asal masih ada kerana ia diberi oleh ibu bapa kita.

"Lagipun ia tidak menjamin populariti. Cuba lihat nama Datuk Siti Nurhaliza, namanya biasa dan orang kata kampung, tetapi dia mampu memberikan nilai komersial yang tinggi pada namanya dan semua ini kerana usaha kerja kerasnya.

"Ada nama artis yang sedap pun, popularitinya tidaklah tinggi mana. Jadi semua itu bergantung pada individu itu sendiri.

"Jika mempunyai nama yang sangat pelik dan memalukan, rasanya tidak salah untuk mengubah nama itu.

"Bagaimanapun, nama glamor tidak banyak membantu dalam karier artis kerana semua itu bergantung kepada rezeki masing-masing," katanya.

Tambah Yusof, dia kurang gemar bila semakin ramai artis muda yang menggunakan nama yang berasal dari Barat.

Pengubahan nama seseorang artis sebenarnya merupakan peranan yang amat penting dalam industri hiburan tempatan. Ini kerana apabila seseorang itu menjadi artis, individu perlu menjadikan dirinya komersial, justeru nama yang glamor dan senang diingati peminat sangat penting sebagai penjenamaan kepada artis tersebut.

Selama lebih daripada 10 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music, Che Mok atau nama sebenarnya Mukhtaza Ahmad, merasakan nama komersial mampu diingati sehingga akhir hayat walaupun pada satu tahap itu, artis berkenaan sudah tidak lagi berkecimpung dalam dunia seni.

Pernah menaikkan nama penyanyi-penyanyi popular seperti Siti Sarah, Spider, Exist, Elly Mazlein, Deja Moss, Farahdiya, In Team, Ahli Fiqir dan Jinbara, Che Mok memberitahu, kebanyakan artis yang memiliki nama yang panjang akan diringkaskan atau diubah berdasarkan perbincangan yang dibuat antara syarikat rakaman dan pihak artis.

"Kita perlu ingat, selain bakat dan paras lupa, nama juga antara yang akan menjadi perhatian umum dan jika kita menggunakan nama panjang, ia menyukarkan orang luar untuk mengingati artis tersebut.


HASIL gabungan nama yang diberikan oleh sahabat, nama sahabatnya itu dan nama kekasih sahabatnya tersebut, lalu muncul nama Abby Abadi.


"Tetapi perlu berhati-hati ketika pemilihan nama dibuat kerana nama pendek yang kurang sedap didengar mampu menjejaskan imej artis itu sendiri.

"Ada juga artis yang mahu menggunakan nama gelaran yang dipanggil sejak kecil untuk dikomersialkan dan kami akan lihat adakah ia sesuai dengan imej, konsep lagu serta 'kecantikan' nama tersebut," katanya yang sedang dalam proses membentuk bintang kelahiran program realiti TV, MyStarz LG iaitu Wana, Nashrin dan Tom.

Bagaimanapun, tegas Che Mok, penukaran nama seseorang artis itu bukan kerana populariti ataupun mengharapkan penjualan album yang tinggi, tetapi cukup jika dapat menarik perhatian umum.

Malah, dia juga tidak bersetuju jika ada yang mengatakan artis-artis mengubah nama mereka untuk tampil lebih urban.

"Bagi saya, nama kampung juga boleh menjadi komersial jika sedap didengar dan tidak semestinya nama-nama urban mudah diingati dan perlu diingat, seseorang artis itu akan mempunyai pelbagai golongan peminat, tidak kira sama ada orang bandar atau kampung.

"Apapun, berdasarkan pengamatan saya, artis-artis kini ramai yang selesa menggunakan nama asal mereka untuk dikomersialkan pada umum. Seingat saya, nama artis yang pernah saya cadangkan ialah Tiar Jinbara (Shamsul Bakhtiar Zakaria)," katanya.

Maksud buruk

Namun begitu di sebalik pelbagai nama glamor yang dipilih mewakili diri mereka sebagai artis, ada sesuatu yang negatif di sebaliknya. Pemilihan nama-nama artis untuk dikomersialkan sebenarnya amat penting, lebih-lebih bagi golongan Islam, agar maksudnya tidak memberi maksud yang buruk.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Perdana (JPM), Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, pemilihan nama komersial artis amat penting kerana nama yang digunakan akan sentiasa disebut-sebut dan menjadi doa kepada artis berkenaan.

"Tidak salah jika ingin menggunakan nama gelaran kerana Nabi Muhammad S.A.W juga pernah memberi nama gelaran kepada sahabatnya, Abdul Al-Rahman kepada Abu Hurairah r.a. kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing.


HATTAN menggunakan namanya ini sejak di bangku sekolah lagi.


"Begitu juga dengan Saidina Abu Bakar yang mendapat gelaran As-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj.

"Macam nama seorang artis bernama Fana, bukan mahu mengkritik, tetapi sekadar mahu memberitahu bahawa maksudnya adalah hancur, teruk dan rosak. Itu adalah satu doa jika nama itu kerap disebut oleh teman-teman serta peminat.

"Saya faham, mereka merupakan artis dan kadang kala mereka perlu menukar nama untuk perhatian umum, tetapi biarlah nama yang dipilih itu nama yang baik dan boleh dijadikan doa," tegasnya.

sumber dari KOSMO

*TAHNIAH untuk WAKAKA CREW yang memenangi SHOWDOWN2010!!!!!


9 comments:

azuan

ish3...tak mau la tukar nama hehe

Nur Aainaa Khairunnisa

tak perlu menukar nama...andai makna nama anda itu sudah cukup indah...=)

~♥ iella ♥~

nama menjadi doa..memang betul. Kalau 100x orang panggil kita,dah 100x gak orang berdoa atas kita... bg sapa2 yang ibubapa letak nama yg tak sesuai maknanya,leh la tukar....

Nur Aainaa Khairunnisa

hai iqbal..nama saya nur aainaa khairunnisa...panggil saya aainaa...=)

makdara TERDIVA

salam aainaa,

ya betul! nama tu 1 doa..

lagi bagus kalau panggil nama org tu dengan nama penuhnye sekali.. :)

Nur Aainaa Khairunnisa

wslm...kak....memang betul tu....=)