KESUKARAN mendapatkan penajaan sebelum berangkat ke Hollywood pada 17 Julai lalu tidak mematahkan semangat mereka berjuang demi mengharumkan nama negara.
Namun matlamat anak muda, Mohd Hanafi Rosdi, Muhammad Fairul Azreen Mohd Zahid, Shaikh Hasrul Hafiz Shaikh Anuar dan Mohamed Naim Syah Razad Mohd Zin menyertai World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang ke-14, itu tidak pernah tersasar. Walaupun terpaksa bertanding dengan perbelanjaan terhad, namun semangat serta kesungguhan mereka tidak sia-sia apabila apabila menjadi pasukan tarian yang mendapat lima pingat emas sekali gus menggondol gelaran Juara Dunia dalam kategori tarian. Mengulas kejayaan itu, Hanafi berkata semangat Malaysia Boleh membuktikan mereka berjaya walaupun berada dalam situasi yang menekan.
“Terdesak mencari penaja serta tekanan dari pihak lawan yang sering melabelkan Malaysia sebagai muda ditewaskan membuatkan kami bertanding dalam keadaan tertekan. Namun syukur pada Tuhan kerana kami berjaya.
“Memang ada kumpulan tarian dari Malaysia pernah menang, tapi kali ini, kelima-lima kategori yang kami serta, semua meraih pingat emas.
“Malah, selain memenangi Juara Dunia kategori tarian berkumpulan, Malaysia juga menang kategori solo yang diwakili Suhaili Micheline Ahmad kamil, yang juga guru tarian di Aswara,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan delegasi WCOPA di Bilik Jamuan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di ibu negara.
Majlis ini turut dihadiri menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammad Mohd Daud Ketua Delegasi WCOPA.
Bukan saja dianugerahkan dengan gelaran Juara Dunia, Kumpulan Aswara Dance Company ini turut meraih anugerah sampingan iaitu Penghargaan Bahagian Tertinggi Tarian atas pencapaian memberangsangkan ketika menyertai pertandingan itu.
Antara bentuk tarian yang dipersembahkan di WCOPA ialah Etnik Piring dan Randai, Muzikal Puteri Gunung Ledang, Zapin dan Suara Riam.
Pertandingan tahunan itu disertai 46 negara. Pada acara perasmian WCOPA, Malaysia berjaya meraih tempat kedua dalam acara perbarisan.
Sementara itu, Mohammad ketika mengulas prestasi peserta untuk tahun ini turut memuji semangat yang ditunjukkan peserta tahun ini walaupun berdepan dengan masalah perbelanjaan.
“Walaupun jumlah peserta tahun ini hanya 13 orang berbanding 23 pada tahun lepas, tetapi pencapaian terutama kumpulan tarian lebih hebat. Kejayaan mereka membuktikan semangat tinggi walaupun bekerja dalam tekanan.
Disebabkan tahun ini kerajaan mengamalkan dasar perbelanjaan berhemah, jadi bilangan anggota rombongan dihadkan. Tapi saya puji semangat kerjasama mereka yang saling bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.
Mengenai ganjaran, Mohamad berkata setiap mereka diberikan imbuhan berjumlah RM2,000.
Selain tarian, tiga peserta iaitu Cheryl Koh (penyanyi), Zulyasrani Zaulyaddin (peragawan) dan Razali Abd Rahim (pemuzik) diberikan penghormatan khas apabila memenangi Anugerah Industri.
Peluang sertai Program Merakyatkan Seni
BANGGA dengan pencapaian peserta WCOPA, Dr Rais berkata kementerian akan memberi peluang kepada mereka membuat persembahan dalam Program Merakyatkan Seni.
“Kami bercadang bawa pemenang ini mengikut giliran ke kampung menerusi Program Merakyatkan Seni. Program pertama ke Selangor pada 6 Ogos. Orang ramai boleh bertemu dan melihat lebih dekat apakah jenis bakat yang ditonjolkan di Los Angeles,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rais berkata kementeriannya akan memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bagi menyemarakkan lagi pembangunan industri kreatif negara.
“Kejayaan pasukan seni budaya di Los Angeles dan dengan anugerah Worldstar Championship of Performing Arts (WCOPA) ini, saya berasa terpanggil untuk menyatakan dalam RMK-10, kita harus memberi peruntukan untuk menghidupkan lagi perkembangan seni kita,” katanya.
Bagaimanapun, jumlah peruntukan yang dipohon itu masih belum ditetapkan lagi.
Dalam pertandingan itu Malaysia memperoleh 41 pingat dan dari jumlah itu pasukan negara memperoleh 18 pingat emas, 17 perak dan enam gangsa daripada 47 pertandingan pelbagai kategori seperti vokal, instrumental, peragaan dan tarian.
*sumber dari Bharian
2 comments:
tahniah2
^_^
Post a Comment