Revolusi BlackBerry Cetus Kontroversi



SEDEKAD lalu mungkin tidak ramai yang mengenali produk keluaran syarikat yang berpangkalan di Kanada, Research In Motion (RIM) itu. Penggemar teknologi khususnya telefon bimbit lebih gemar memilih jenama yang mempunyai nama dalam lapangan pembuatan peranti telekomunikasi mudah alih. Senario itu terjadi mungkin disebabkan produk pertama BlackBerry yang dihasilkan pada tahun 1999 adalah berasaskan konsep alat kelui. Evolusi perubahan peranti pintar BlackBerry pertama mula dicipta pada tahun 2002 yang mengetengahkan keupayaan e-mel tolakan, faks Internet, pelayaran laman web dan perkhidmatan maklumat tanpa wayar lain.

Selain itu, peranti pintar BlackBerry juga dilengkapi keupayaan aplikasi seperti buku alamat, kalendar dan sebagainya sama seperti peranti pintar lain yang terdapat di pasaran.




Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, gergasi telekomunikasi berlumba-lumba menghasilkan peranti mudah alih berkuasa tinggi sehingga muncul segmen telefon pintar menjengah pasaran dunia. Jenama BlackBerry tidak terkecuali membangunkan telefon pintar sehingga melakar nama dalam segmen tersebut sehingga menjadi bualan hangat pengguna peranti mudah alih. Keupayaan teknologi BlackBerry mula mencuri tumpuan golongan usahawan dan profesional dalam mengharungi kehidupan seharian mereka kerana ia dapat memudahkan segala urus niaga dan komunikasi yang ingin dilakukan dengan mudah lagi pantas tanpa sebarang gangguan.

Namun, kemasyhuran telefon pintar itu mula terserlah di persada dunia apabila Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjaya mengekalkan penggunaan peranti tersebut tahun lalu. Pelbagai spekulasi dan kesangsian mengenai keselamatan penggunaan peranti tersebut mula timbul bagi menghalang Obama menggunakan peranti pintar itu sebelum beliau melangkah masuk ke Rumah Putih menjawat jawatan Presiden AS. Obama berkata, telefon pintar tersebut merupakan peranti yang akan digunakan untuk berhubung dengan rakyat AS dan mengelak daripada terperangkap dengan tugasan presiden.

"Ia merupakan salah satu antara sejumlah peranti yang saya cuba gunakan bagi memastikan rakyat masih boleh berhubung dengan saya.

"Saya ingin mempunyai suara, selain daripada orang terdekat yang bekerja dengan saya dapat menghulur dan menghantar maklumat tentang apa sedang berlaku di AS," katanya.

Bagaimanapun, telefon pintar milik Obama telah diubah suai dengan perisian keselamatan canggih berbanding BlackBerry yang terdapat di pasaran untuk mengelak penggodam daripada memasuki peranti tersebut.



BLACKBERRY diminati kerana kecanggihan teknologinya.


Keistimewaan telefon pintar Blackberry terletak pada kecanggihan teknologinya. Malah ia begitu dikenali kerana mempunyai kebolehan menghantar dan menerima e-mel di mana sahaja. Kemudahan tersebut boleh digunakan dengan mudah sekiranya terdapat liputan rangkaian perkhidmatan mudah alih atau melalui sambungan Wi-Fi.

Data yang diekstrak

Dalam pada itu, perbezaan ketara yang terdapat pada telefon pintar tersebut adalah data yang diekstrak daripada peranti BlackBerry akan disimpan dalam format khas iaitu IPD dengan fail akan dienkripsikan ke sistem kerangka utama BlackBerry. Ini bermakna pencerobohan sukar dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin memperoleh maklumat yang dihantar atau diterima pengguna BlackBerry. Pelayan Enterpris BlackBerry (BES) menjadi tulang belakang kejayaan syarikat itu menawarkan sistem e-mel mudah kepada pengguna yang membolehkan mereka membuka Microsoft Exchange, Lotus Domino dan Novell Group Wise.

Menariknya tentang BES, ia berupaya menyimpan akaun e-mel secara bersepadu dengan mengemaskini kotak e-mel pengguna sebaik mesej masuk diterima yang dihantar melalui Pusat Operasi Rangkaian RIM (NOC) dinamakan e-mel tolakan. Secara teknikalnya, ia membekalkan sambungan TCP/IP menerusi komponen Perkhidmatan Data Mudah Alih - Servis Sambungan (MDS-CS) yang memungkinkan pembangunan aplikasi ke peranti BlackBerry berasaskan platform Sun Microsystems Java ME.

Kecanggihan teknologi BlackBerry tidak terhenti di situ sahaja kerana peranti baru telefon pintar dibangunkan syarikat RIM turut dilengkapi perisian BlackBerry Messenger (BBM). BlackBerry Messenger yang juga dikenali sebagai BBM oleh masyarakat alam maya digunakan untuk menghantar dan menerima mesej segera melalui PIN BlackBerry dan imbasan kod bar.

Khabar gembira

Mengapakah teknologi perisian BBM begitu digemari pengguna peranti BlackBerry sehingga tidak menggunakan lagi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) apabila berkomunikasi dengan pemilik BlackBerry lain? Keunikan BBM adalah ia tidak melibatkan pembayaran seperti perkhidmatan SMS apabila menghantar mesej segera. Mereka juga mempunyai kebebasan berhubung bersama rakan-rakan yang berada di luar negara.



BLACKBERRY mencetuskan ketagihan di seluruh dunia.


Ia juga membenarkan paparan gambar, mesej peribadi, menghantar dan membaca pemberitahuan kepada pengguna-pengguna lain. Kesemua ciri-ciri yang dimiliki telefon pintar BlackBerry mula mencetus fenomena dan ketagihan di kalangan peranti mudah alih seluruh dunia. Perjalanan kecanggihan teknologi telefon pintar BlackBerry tidak seindah yang disangka apabila mencetuskan kontroversi di beberapa buah negara di dunia.

Sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Arab Saudi telah mengarahkan pengendali telefon bimbit supaya menyekat perkhidmatan BlackBerry bermula Jumaat lalu atau berdepan denda AS$1.3 juta (RM4 juta) jika gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi telah menangguhkan larangan perkhidmatan telefon pintar BlackBerry di negara berkenaan. Kenyataan agensi berita rasmi SPA menyatakan, perkhidmatan telefon pintar itu akan beroperasi secara dalam talian seperti biasa dan ia perlu melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa kepada pihak berkuasa Arab Saudi sebelum jalan penyelesaian muktamad dicapai oleh kedua-dua belah pihak. Penangguhan tersebut telah membawa perkhabaran gembira kepada pengguna BlackBerry yang mencecah berjuta orang di Arab Saudi.

"Saya tidak mengetahui mengapa mereka membuat kecoh mengenai BlackBerry," kata Sahar Mohammed, 19 seorang pelajar universiti.

"Mereka sepatutnya mencapai persetujuan pada minggu lalu tanpa perlu membuatkan pengguna melalui pengalaman kurang selesa pada minggu lalu," ujarnya.

Medium terbaik

Telefon pintar berkenaan menjadi medium terbaik kepada golongan lelaki dan wanita di Arab Saudi untuk berhubung di antara satu sama lain melalui alam maya.

"Saya mungkin akan mati...jika perkhidmatan berkenaan dihentikan walaupun selama tiga hari," kata Alonood Oseilan di laman sosial Facebook yang memprotes pengharaman perkhidmatan berkenaan.

Seorang pelajar universiti, Khaled al-Harthi, 21, berkata, dia bergegas membeli peranti BlackBerry baru untuk meraikan peristiwa istimewa berkenaan.




"Saya sudah mempunyai BlackBerry tetapi saya sangat gembira apabila perkhidmatannya diteruskan dan mengambil keputusan membeli satu lagi peranti berkenaan," ujarnya.

Selain Arab Saudi, kontroversi mengenai teknologi BlackBerry juga berlaku di negara, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), India, Indonesia dan beberapa negara lain.

Di Malaysia, syarikat-syarikat telekomunikasi berlumba-lumba menyediakan pakej terbaik BlackBerry kepada pengguna. Malah pakej-pakej berkenaan telah menjadi fenomena baru masyarakat negara ini khususnya golongan belia berkomunikasi bersama rakan-rakan dengan lebih pantas dan mudah.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiapkan laporan berhubung penggunaan telefon bimbit pintar BlackBerry di negara ini ekoran tindakan beberapa negara menggantung perkhidmatan telefon itu atas alasan keselamatan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan itu kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dikemukakan dalam satu mesyuarat minggu ini.

"Laporan itu adalah tentang dakwaan kononnya perkhidmatan BlackBerry telah digantung di beberapa negara.

"Kita akan umumkan hasilnya selepas mesyuarat nanti," katanya.

*sumber dari KOSMO


0 comments: