ENTAH apa kuasa rasa yang ada pada telur masin, tatkala menempuhi bulan Ramadan ia menjadi antara sajian sahur wajib bagi kebanyakan orang. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, pasti punya pengalaman bersahur dengan berlaukkan telur masin.
Bila ditanya mengapa, ramai yang memberitahu rasa telur itik yang masin itu membuka selera sewaktu menikmati sajian pada awal pagi. Berwarna putih bersih dengan isi di tengah-tengahnya berbentuk bola rona jingga adalah antara bahagian yang paling menjadi kegemaran.
KELAZATAN dan rasa lemak telur masin terutama di bahagian tengahnya menyebabkan ia menjadi sajian pembangkit selera pelbagai kaum.
Walaupun tidak diamalkan setiap hari, bagi seorang pelakon muda Iqram Dinzly, 29, menu tersebut mampu membangkitkan selera bersahur beliau walaupun ketika mata masih berat untuk dibuka.
Mengakui ia adalah antara hidangan wajib beliau bila menjelmanya bulan Ramadan, pemilik nama Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin itu tidak malu untuk menikmati hidangan ringkas tersebut biarpun bergelar selebriti popular.
Selesa menjamah telur masin bersama sedikit nasi putih, pemuda yang mesra disapa sebagai Iqram menganggap telur masin mampu membangkitkan selera kerana rasanya itu boleh membuatkan seseorang 'ketagih'.
"Ia memang enak. Kadang-kadang saya ratah begitu sahaja.
"Rasa masin sebenarnya mampu membangkitkan selera. Tambahan pula ia mempunyai rasa yang lemak, memang sedap walaupun hanya dimakan dengan nasi putih kosong sahaja," luah Iqram.
ZARINAH membersihkan telur itik segar menggunakan berus sebelum diasinkan.
Beliau yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Apokalips menjelang Ramadan lalu memberitahu Kosmo! bahawa baginya hidangan bersahur cukup sekadar dengan hanya menu ringkas kerana ingin bersederhana dan memberi tenaga untuk melakukan kerja.
"Saya bukanlah selalu makan nasi bersama telur masin. Ia tidak baik untuk kesihatan jika diamalkan terlalu kerap. Kalau sesekali itu tidak menjadi masalah," ujarnya yang sering bersahur bersama rakan-rakan jika di ibu kota dan bersama keluarga ketika pulang ke Ipoh.
Mengasinkan telur itikMendalami mengenai bisnes telur masin di negara ini, Kosmo! menemu bual pengusaha telur itik segar dan telur masin di Sungai Yu, Tanjung Karang, Selangor, Md. Farizsazali Mohd. Danuri, 33.
Bagi anak jati Tanjung Karang yang memulakan operasi perniagaannya pada 1 Januari lalu itu, telur masin adalah perusahaan sampingan kepadanya kerana telur itik segar lebih mendapat tempat dalam kalangan pengusaha-pengusaha restoran.
"Telur segar dijual terlebih dahulu, manakala lebihan daripadanya akan diawet secara kaedah pengasinan.
"Telur segar lebih mendapat permintaan oleh pengusaha restoran kerana ia sesuai untuk dijadikan pelbagai jenis hidangan lauk berbeza dengan telur masin yang lebih enak dimakan begitu sahaja," jelas beliau yang mengusahakan perniagaan itu secara separuh masa atas nama Bumi Niaga Enterprise.
Beliau yang masih berkhidmat sebagai jurumesin di sebuah syarikat pengeluaran kenderaan nasional mempunyai ladang ternak seluas 0.6 hektar yang diusahakan sendiri dengan dibantu oleh kakak iparnya, Zarinah Latip, 36, dalam kerja-kerja penjagaan dan pengeluaran.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu menambah, telur itik segar hanya boleh kekal sihat dalam tempoh dua minggu sahaja dan akan rosak selepas tempoh itu. Bagaimanapun bagi telur yang mengalami proses penggaraman, ia boleh kekal elok dalam tempoh yang lebih lama.
ITIK-ITIK di ladang Syarikat Bumi Niaga Enterprise menghasilkan 300 biji telur sehari dan ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan di pasaran.
"Telur masin bersifat stabil, rasanya juga kurang hamis dan tidak berbau busuk berbanding telur segar," katanya.
Sambil menunjukkan cara-cara menghasilkan produk telur masin, beliau yang kini menetap di Rawang, Selangor menjelaskan bahawa terdapat dua jenis telur itik iaitu berwarna putih dan juga kehijauan.
"Bagi telur itik yang berwarna kehijauan kandungan proteinnya lebih tinggi. Waktu untuk diasinkan juga mengambil masa yang lebih lama iaitu sehingga 20 hari kerana kulit cengkerangnya yang lebih keras," jelasnya sambil memberitahu kuantiti telur berwarna tersebut sangat sedikit.
Mempunyai sejumlah 500 ekor itik dari jenis Khaki Campbell, Md. Farizsazali mengakui tidak menang tangan menghasilkan telur masin pada bulan Ramadan. Ini kerana permintaan untuk telur masin meningkat dalam kalangan pelanggan perseorangan berbanding telur segar yang kurang mendapat permintaan kerana kebanyakan restoran tidak beroperasi pada bulan itu.
"Memang diakui pada bulan ini permintaan untuk telur masin sedikit meningkat. Hidangan seperti nasi kerabu, bubur nasi atau dimakan bersama nasi putih antara hidangan popular pada bulan ini.
"Sejumlah hampir 300 biji telur yang dihasilkan oleh itik-itik kami sehari belum mencukupi untuk menampung jumlah permintaannya," jelas beliau lagi.
Naikkan selera bersahurMenyentuh telur masin dari sudut pemakanan, pensyarah di Jabatan Pemakanan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Zaitun Yassin menjelaskan kebanyakan orang mempunyai selera yang rendah untuk makan pada waktu awal pagi apatah lagi baru tersedar daripada tidur.
TELUR masin menjadi antara menu wajib kebanyakan orang ketika bersahur selain sering dihidangkan bersama nasi kerabu atau bubur nasi.
"Makan benda-benda yang masin boleh merangsang deria rasa untuk menerima makanan tersebut. Bukan sahaja telur masin bahkan, hidangan lain yang mempunyai rasa sedemikian mampu membangkitkan selera makan.
Zaitun menasihati 'peminat tegar' hidangan itu agar tidak mengamalkannya setiap hari dan mempelbagaikan hidangan terutamanya ketika bersahur kerana badan seseorang memerlukan variasi nutrien dengan jumlah yang berbeza.
Beliau mengesyorkan hidangan bersahur diambil seperti porsi sarapan antaranya roti, buah-buahan dan bijirin. Menjamah tiga biji kurma bersama segelas air suam juga mampu membekalkan tenaga yang mencukupi untuk melakukan kerja pada hari tersebut.
Menurut kenyataan daripada Lembaga Promosi Kesihatan Singapura, setiap 70 gram (g) telur merah daripada telur masin mengandungi sebanyak 359 miligram (mg) kolesterol.
Dalam mengamalkan diet yang sihat seseorang disyorkan mengambil kira-kira 300 mg kolesterol sehari dan ini menunjukkan bahawa kandungannya dalam sebiji telur itik masin melebihi jumlah yang disyorkan.
"Jika seseorang mengambilnya secara berterusan, ia mungkin menaikkan kandungan kolesterol di dalam badan. Ia secara tidak langsung menyumbang risiko untuk mendapat sakit jantung. Cukuplah sekadar mengambil separuh dalam setiap hidangan," jelas Zaitun lagi.
*sumber dari
KOSMO*sedapnya telur masin...antara menu wajib bulan puasa...=)