Terowong di bawah sungai


RASA gerun menyelubungi tatkala kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang dikemudi jurutera muda Ng Hau Wei memasuki salah satu daripada dua muka terowong di Bukit Berapit, Padang Rengas, Perak itu.

Terowong yang berbentuk seperti ladam kuda dengan diameter sembilan meter lebar dan sembilan meter tinggi itu berjaya ditebuk sepenuhnya 1 November lalu.





Bagai memasuki sebuah gua, pemandangan di depan hanyalah suasana kelam yang seolah-olah tidak berpenghujung.

Usai 30 meter pertama, perasaan cuak mulai lenyap dan digantikan keterujaan melihat struktur dinding dan siling terowong.

Biarpun permukaannya sedikit kasar dan sekadar dilitupi semburan konkrit, namun hasil penggalian terowong yang dimulakan sejak April 2009 lalu itu telah menampakkan kehebatannya.

100 meter di hadapan, kelihatan sekumpulan petugas berkemahiran tinggi tangkas melaksanakan kerja-kerja mereka.

Ditemani cahaya lampu limpah yang terpahat kukuh di tepian laluan terowong itu, petugas terbabit langsung tidak mempedulikan kehadiran wartawan Jurnal dan jurugambar Mohd. Najib Mohd. Nor yang pantas merakam momen foto terbaik suasana mereka sedang bekerja.

Tidak jauh dari situ, air menitis lebat dari siling terowong.

“Air ini adalah aliran Sungai Batu Pengasah dan kita baru sahaja melalui di bawahnya,” ujar Hau Wei, 31.

Itulah sebahagian gambaran terkini Terowong Bukit Berapit (TBB) iaitu mercu tanda Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.

Selain faktor jarak 3.3 kilometer yang bakal melayakkannya berstatus terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara, TBB hakikatnya mempunyai banyak keistimewaan.



KERJA-KERJA pemasangan rel kereta api sedang rancak dijalankan di dalam terowong.


Air

Apabila siap kelak, ia membolehkan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencapai kelajuan sehingga 120 km sejam semasa melalui terowong itu.

Selain itu, TBB dilengkapi spesifikasi standard keselamatan antarabangsa. Terdapat sembilan laluan penghubung di setiap 350 meter di dalam terowong itu.

Terowong berkembar ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran tempatan. Projek ini sudah pun 70 peratus siap.

Bakinya pula melibatkan 15 peratus kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan 15 peratus pemasangan sistem di dalam terowong.

Bagi Hau Wei, perkembangan tersebut merupakan satu kejayaan membanggakan lebih-lebih lagi beliau sendiri bergelar Pengurus Terowong bagi projek berkenaan.

Menurut graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor ini, projek tersebut jelas memperlihatkan bahawa tiada yang mustahil untuk dilakukan.

“Inilah pertama kali kita membina terowong menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.

“Saya menganggapnya sebagai satu cabaran memandangkan ahli-ahli pasukan terowong saya merupakan jurutera baru lepasan universiti,” katanya.

Beliau yang berpengalaman sebagai salah seorang jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) di ibu negara sebelum ini berkata, cabaran terbesar sepanjang proses pembinaan TBB adalah penggerudian bagi 100 meter pertama.

“Jarak tersebut merupakan fasa paling penting dalam keseluruhan pembinaan. Kami menghadapi kesukaran yang melampau memandangkan keadaan tanah yang berbatu.

“Perkembangannya terlalu perlahan, tidak sampai satu meter sehari malah mengambil masa setengah tahun untuk jarak berkenaan.

“Bahkan pada waktu itu, kami terpaksa mengubah reka bentuk memandangkan pembinaannya dilakukan di bawah laluan air,” katanya.


PEMANDANGAN dari depan terowong berkembar di Bukit Berapit, Perak.


Terkawal

Berbanding pembinaan Terowong Smart yang mengguna pakai khidmat dua mesin penggerudi terowong (TBM), Tuah dan Gemilang, TBB sebaliknya menggunakan teknik gerudi dan letupan terkawal bagi kawasan di bawah Bukit Berapit.

“Menggunakan TBM seumpama menguruskan sebuah kilang. Pengendali mesti memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Namun, di Bukit Berapit ini, kaedah gerudi dan letupan terkawal lebih mendekatkan kita dengan alam semula jadi.

“Selepas setiap sesi letupan dan penggerudian, kami melihat dengan mata sendiri tanah serta batu yang dikeluarkan. Begitu juga dengan kesan yang tinggal pada struktur terowong,” kata Hau Wei.

TBB turut bersambung dengan dua lagi terowong berasingan yang dibina menggunakan kaedah potong dan tutup di kawasan terbuka dan kerja-kerja mengorek di bawah Lebuhraya Utara-Selatan.

Kata Hau Wei, kerja-kerja tersebut dibuat secara cermat sehingga pengguna lebuh raya tersebut tidak merasai gegaran letupan dan gerudi.

Semasa proses gerudi dan letupan, terdapat empat pasukan penggalian terowong menjalankan tugas serentak iaitu melalui empat muka terowong berasingan.

“Proses membina terowong sangat rumit bahkan kita terdedah kepada pelbagai risiko.

“Meskipun pakar geologi telah membuat kajian mengenai kandungan tanah di kawasan yang hendak digerudi dan diletupkan, kami tidak boleh menjangka apakah sebenarnya risiko 100 meter di depan,” cerita beliau.

Tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan yang diraih, Hau Wei bersyukur kerana beliau diberi peluang mengetuai pembinaan sebuah projek berstatus mega tersebut.

“Terdapat kira-kira 30 kakitangan di bawah saya yang terdiri daripada jurutera, pakar geologi dan penyelia.



HAU WEI (kanan) bersama sebahagian daripada 240 pekerja yang terlibat dalam pembinaan terowong.


“Saya bertuah kerana mereka telah memberi kerjasama yang baik meskipun ada di kalangan mereka lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

Ujar anak kelahiran Kulai Besar, Johor ini, tarikh 1 November lalu merupakan detik istimewa kepada lebih 240 petugas yang terlibat secara langsung dalam pembinaan terowong tersebut.

Pada hari berkenaan, penggalian terowong dari arah Padang Rengas dan Taiping yang dimulakan sedikit lewat iaitu pada Mac 2010, berakhir secara rasmi.

“Melihat terowong yang digali berjaya ditembusi adalah matlamat dan impian utama mereka.

“Secara peribadi, itulah detik yang dinanti-nantikan bahkan ketika itu saya sendiri seperti mahu mengalirkan air mata kegembiraan.

“Saya seperti nampak ada cahaya dari alam lain menerobos masuk,” ujarnya.

Dengan semangat berpasukan dan komitmen bersungguh-sungguh yang diperlihatkan anak-anak buahnya, Hau Wei yakin TBB tersebut mampu disiapkan sepenuhnya menjelang November 2011 seperti dijadualkan.


*sumber dari KOSMO


0 comments: