Mata Kekal Sihat


SETIAP hari, mata sering terdedah kepada pelbagai unsur yang mampu merosakkan mata.
Antaranya adalah pendedahan mata kepada cahaya matahari, udara tercemar, bakteria, alat solek juga skrin komputer yang akhirnya boleh mengakibatkan mata mengalami jangkitan, alahan, kecederaan dan kelesuan.

Cahaya matahari

Pendedahan kepada sinaran ­ultraungu daripada cahaya ­matahari secara berpanjangan misalnya boleh menyebabkan katarak.

Walaupun sinaran UV bersifat lut sinar atau tidak nampak dengan mata kasar, ia boleh menyebabkan kerosakan pada beberapa bahagian mata.

Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan keadaan yang tidak dapat dibaik pulih jika kita tidak berusaha untuk melindungi mata.




Justeru, penjagaan mata yang ­betul sememangnya penting. Elakkan berada di luar tanpa ­penjagaan mata yang betul terutama sekitar jam 12 tengah hari kerana sinaran UV ketika itu berada dalam pancaran paling kuat.

Pastikan cermin mata gelap yang digunakan boleh menghalang kedua-dua jenis sinaran iaitu UVA dan UVB secara berkesan. Meskipun kita mengenakan ­cermin mata gelap, usah memandang tepat ke arah cahaya matahari.


Skrin komputer

Memandang skrin komputer untuk jangka masa lama juga akan meletihkan mata dan boleh menyebabkan kerosakan.

Apabila menggunakan ­komputer, pastikan mata dapat ­berehat seketika. Alihkan ­pandangan dari skrin dan pandang objek lain selama 10 saat bagi setiap 10 minit.

Selain itu, pada setiap jam, pastikan mata mendapat rehat secukupnya.

Jangan lupa untuk mengelipkan mata kerana mata yang kurang berkelip boleh mengurangkan air mata bagi melincirkan mata sekali gus menyebabkan mata kering dan tidak selesa.

Kekalkan jarak yang sepatutnya antara mata dan skrin dengan ­kejelasan skrin yang betul. ­Kedudukan yang baik juga membantu untuk mengelakkan diri daripada mudah rasa sakit di bahagian otot dan belakang badan.

Skrin komputer pula seharus­nya berada pada jarak 20 hingga 30 inci dari mata, iaitu kira-kira ­setengah depa.




Membaca

Cahaya yang mencukupi sangat penting untuk membaca.

Bagi mereka mempunyai penglihatan yang normal, cahaya lampu 60 watt hingga 100 watt paling sesuai. Bagi mereka mempunyai tahap penglihatan kurang baik, pastikan cahaya lampu berada dalam lingkungan 150 watt hingga 200 watt.
Usah berbaring ketika membaca. Bahan bacaan pula harus berada pada jarak 33 sentimeter (sm) hingga 40 sm.


Menonton televisyen

Seeloknya, jarak televisyen dari mata haruslah berada kira-kira dua meter. Jika anda gemar menonton televisyen dari jarak dekat, lakukan ujian penglihatan kerana menonton pada jarak sedemikian memang tidak elok diamalkan.

Sekiranya mempunyai masalah seperti mata merah, sakit teruk pada mata, penglihatan kabur, benda asing di dalam mata apatah lagi kecederaan pada mata, dapat­kan nasihat doktor.

*sumber dari myMetro


1 comments: