Tiada cinta tiga segi


MENERUSI siri ketiganya, The Twilight Saga: Eclipse, Bella Swan (lakonan Kristen Stewart) masih terbelenggu dalam cinta tiga segi yang kompleks dan berdepan dilema untuk membuat keputusan sukar kerana perlu memilih antara kawan baiknya, Jacob Black (Taylor Lautner dan lelaki yang dicintainya, Edward Cullen (Robert Pattinson).




Masalahnya, jika dia memilih Edward, Bella perlu menamatkan hidupnya dan bertukar menjadi puntianak. Ia satu dilema kerana Edward selalu menentang idea itu kecuali Bella bersetuju untuk berkahwin dengannya.

Itulah penghujung New Moon yang membuatkan peminatnya tidak sabar menanti jawapannya. Eclipse selepas Twilight dan New Moon telah mengumpul jutaan pengikut di seluruh dunia.

Bagi mereka yang telah menonton dua filem sebelumnya, harapan dan permintaannya lebih tinggi. "Salah satu sebab mengapa saya menyukai filem ini adalah kerana ia tidak tersasar jauh daripada bukunya. Eclipse merupakan kegemaran saya kerana buat kali pertama, tiga watak utama sering dilihat bersama.

"Dalam dua edisi sebelumnya, Bella hanya akan bersama antara Jacob atau Edward. Jadi saya menyukai kerumitan cinta tiga seginya. Ceritanya juga lebih 'gelap' dan sarat dengan aksi," kata Taylor.

Menjalani penggambaran majoritinya di Vancouver, Kanada filem arahan David Slade itu menelan belanja AS$68 juta (RM218 juta). Bagi mendalami filem yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula semalam itu, ikuti petikan temu bual Taylor, 18, yang disediakan oleh Nusantara Edaran Filem.

Anda merupakan peminat siri buku Twilight?

Taylor: Saya perlu mengaku bahawa saya tidak tahu mengenai buku Twilight sebelum saya pergi uji bakat. Namun, selepas mendapat watak sebagai Jacob Black, saya mula membaca dan kini merupakan peminat setia.



MENERUSI Eclipse, cinta Jacob, lakonan Taylor semakin membuak-buak terhadap karakter lakonan Kristen, Bella.


Mengapa anda rasa buku dan filem Twilight sangat berjaya?

Disebabkan watak-wataknya. Semua orang yang membaca buku atau menonton filemnya akan merasakan diri mereka boleh dikaitkan dengan watak. Selain daripada itu, kepelbagaian watak dan juga perkara yang diharungi membuatkan pakej plotnya menarik.

Pandangan anda terhadap Jacob Black? Bagaimana wataknya berkembang dalam edisi ketiga itu?

Saya rasa Jacob memiliki banyak sisi berbeza. Dia seorang yang ramah tetapi juga serius pada masa tertentu. Jika dilihat dari segi perkembangan watak, dia masih mempunyai persamaan dengan New Moon. Cuma kali ini, dia lebih matang. Dia kini lebih memahami dirinya dan perlu mengendalikan perasaan cinta. Dia menjadi bengang pada mulanya kerana dia rapat dengan Bella dan kemudian cintanya ditolak.

Bagaimana edisi ketiga ini meneroka hubungan antara Bella, Edward dan Jacob?

Saya sukakan Eclipse kerana ia meletakkan dilema cinta tiga segi pada aras tertinggi. Twilight dan New Moon melakukan tugas baik sebagai asas kepada Eclipse. Dalam cerita pertama, ia mengembangkan cinta antara Edward dan Bella. Menerusi siri keduanya, hubungan antara Bella serta Jacob dikembangkan. Kali ini, mereka bertiga dikaitkan bersama yang membuatkan ceritanya amat menarik.

Dalam cinta tiga segi itu, apa yang boleh ditawarkan oleh Jacob kepada Bella yang tidak boleh diberikan oleh Edward?

Jacob pandai menggoda dengan menggunakan ayat romantik yang menyakinkan Bella untuk memilih dia. Apabila Jacob memberitahu bahawa Bella tidak perlu berubah jika mereka bercinta, Bella menarik nafas lega. Ini kerana dia tidak perlu bertukar menjadi puntianak dan meninggalkan semua orang di sekelilingnya.

Tapi bukankah bersama dengan serigala jadian juga memerlukan perubahan dalam hidupnya?

Bukannya bermaksud bersama dengan serigala jadian adalah sesuatu yang normal tetapi sekurang-kurangnya dia masih boleh terus menjadi Bella. Jika dia menjadi puntianak, dia perlu menghentikan dengupan jantungnya. Ia tidak akan menjadi normal lagi.

Permintaan dan jangkaan peminat sentiasa meningkat. Adakah anda berasa bertanggungjawab terhadap peminat?

Ya. Perkara paling penting bagi kami adalah untuk memuaskan hati penonton kerana bukunya amat menarik. Kami tahu permintaan peminat dan berharap tidak akan mengecewakan mereka. Nasib baik mereka (peminat) sentiasa memberikan sokongan.

Bercakap mengenai peminat, pernahkah anda terfikir bahawa rangkaian filem itu akan diminati di seluruh dunia?

Tidak. Rasanya tidak ada sesiapa di antara kami yang pernah terfikir. Semasa kami merakamkan Twilight, tidak ada sesiapa yang tahu impaknya. Ia lebih besar daripada jangkaan dan semakin mengembang setiap hari.



SIRI ketiga Twilight ini berjaya mengumpul kutipan tiket bagi tayangan pembukaan di pawagam Amerika Syarikat mencecah RM218 juta.


Kelebihan untuk bekerja dengan orang yang sudah dikenali?

Kurang tekanan dan anda rasa seperti berada di rumah apabila orang di sekeliling sudah mengenali anda. Ia lebih selesa kerana anda juga mengenali pelakon lain. Kami lebih terbuka untuk berbicara.

Ceritakan sedikit mengenai kelainan antara Twilight dan Eclipse.

Lebih banyak aksi dan buat kali pertama saya berpeluang untuk bercium dengan Bella. Itu mungkin perkara terbesar dalam Eclipse. Kristen seorang yang menakjubkan dan kami seronok berlakon bersama. Puntianak Victoria sedang memburu Bella. Jadi Jacob, Edward dan keluarganya serta serigala jadian lain perlu bergabung untuk melindungi dia.

Bagaimana pula dengan Robert Pattinson?

Dia seorang aktor yang baik dan saya sentiasa ketawa apabila berada di sisinya. Dia antara manusia paling kelakar yang pernah saya temui. Menerusi siri sebelum ini, saya hanya mempunyai beberapa babak bersama Robert. Jadi saya amat teruja kerana dalam Eclipse, saya ada banyak adegan bersamanya. Cabarannya adalah saya perlu membenci dia dalam sesetengah babak. Kami perlu menjerit semasa kita dan dia menepuk bahu saya. Sebaik saja mereka hentikan rakaman, kami terus ketawa. Ia adalah sukar untuk bertindak kejam terhadap Robert.

Ceritakan sedikit persediaan anda untuk filem ketiga itu.

Secara fizikal, saya hanya perlu teruskan senaman. Namun, untuk mengekalkan bentuk badan berotot bukan satu kerja yang senang kerana ada kalanya saya terlalu sibuk. Jika saya ketinggalan satu sesi, saya perlu lebih berusaha pada sesi akan datang. Dari segi makanan, saya ada menipu beberapa kali kerana saya tidak boleh menolak daripada menikmati kelazatan aiskrim. Saya juga membaca buku Twilight dan perlu meneliti watak saya.

Apakah pengertian nilai persahabatan bersama Robert dan Kristen buat anda?

Saya tidak dapat bayangkan merakamkan francais ini tanpa mereka. Ia akan menjadi satu mimpi ngeri. Kami bertiga amat rapat dan ia banyak membantu kerana semasa menjalankan rakaman, kami boleh berbicara. Apabila kami menjalankan kerja promosi, perasaannya seperti sedang bercuti sama. Kami pastinya akan mengekalkan persahabatan kami walaupun selepas francais Twilight.

Pernahkah anda sendiri terlibat dalam cinta tiga segi?

Ini satu soalan yang popular. Mungkin semasa muda, saya ada menyukai gadis yang juga diminati beberapa lelaki lain. Pada zaman remaja, perasaan cinta itu bukan sesuatu yang serius. Jadi saya tidak pernah terlibat dalam cinta tiga segi. Saya tidak mahu berada dalam situasi itu. Saya mahu berada dalam situasi Bella dan bukannya Jacob atau Edward. Ia tidak seronok.

Anda merupakan antara pelakon lelaki Hollywood yang sedang meningkat naik. Perasaan anda apabila menjadi kegilaan ramai?

Saya tidak pasti tetapi ia amat mengujakan. Francais ini merupakan platform yang menakjubkan dan saya amat berterima kasih dengan peluang dan status ini. Saya berasa seronok membikin filem dan bertemu dengan ramai orang berbakat. Ia satu pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

Impak negatif selepas menempa populariti?


MENJADI buruan paparazi selepas menempa nama menerusi siri filem Twilight.


Terdapat sisi baik dan buruknya. Apa yang paling ketara adalah hidup peribadi anda terganggu. Apabila ada 12 kereta paparazi di hadapan rumah anda pada waktu pagi bukan satu perkara yang normal. Tapi, saya lihat ia memberikan lebih banyak kebaikan dan saya rasa pengorbanan ini amat berbaloi.

Perkara paling pelik yang pernah anda lalui bersama peminat?

Semasa saya berada di Australia untuk mempromosikan filem ini, saya perlu melalui acara karpet merah. Sekurang-kurangnya 4,000 peminat berkumpul dan ada seorang peminat yang mempunyai tatu serigala di tangannya. Dia menyuruh saya untuk tandatangan di bawah serigala tersebut. Selepas itu, saya mendapat tahu bahawa dia telah mencacah tatu tandatangan saya. Itu sesuatu yang gila.

Bagaimana anda menyeimbangkan kehidupan anda?

Sentiasa berada di sisi keluarga dan kawan-kawan anda. Sekarang saya hidup dalam dunia berbeza tetapi perlu kembali ke dunia normal. Sekarang kami masih melakukan benda sama yang dilakukan sebelum ini. Kami akan duduk di rumah dan menonton TV. Mengekalkan dunia normal amat penting kerana saya tidak mahu mendapat tekanan seperti artis lain.

sumber dari KOSMO

*aainaa mau tengok movie ini...sape nak teman????


8 comments:

Miss Izah Mohamed

ensem pulak tetibe si jacob ni.. ehhee

xazryx

hish .kene pi tgk nih .makin menarik nmpk .ade geng pontianak baru tuh .

kerangRebus

i xlayan cite ni..bukn xsuke..tp memg xbkesempatan nk amek tahu ttg cite nih..um
jom2,u blanje +_+

Nur Aainaa Khairunnisa

miss izzah....kan...uhuhuhuu...kalah la si edward...;p

Nur Aainaa Khairunnisa

xazryx...jom serang pnggung....=)

Nur Aainaa Khairunnisa

kerangRebus...jom² i blanja u bayar ek...;p

Nur Aainaa Khairunnisa

jack....nak dua² team boleh? ekekekkee...;p